Sunday, September 28, 2008


wujud

SYARAH SIFAT YANG PERTAMA - الوجود
WUJUD ERTINYA ADA


Wajib pada syara', atas tiap tiap mukallaf mengetahui serta mengaku didalam hatinya akan terima sungguh ADA Allah Ta’ala tidak terima tiadanya, saperti firman Allah Ta’ala
( فَاعْلَمْ اَنَّهُ لاَ اِلَهَ اِلاَّ الله ) ertinya .............



Wajib pada syara, atas tiap2 mukallaf ....
Menunjukkan dalam memahami ilmu tauhid, hukum syara' tidak pernah diabaikan. Syara’ menghukumkannya wajib bagi setiap mukallaf mengetahui dan mengaku didalam hatinya menerima tanpa syak, dzan dan waham bahwa menyakini sungguh memang adanya Allah Ta’ala.
Wajib yang macam mana ? Wajib yang qat’i.
Wajib pada syara mengetahui dan mengaku bahawa sanya tidak ada Tuhan melainkan Dia.

Mengapa setiap mukallaf ?
kerana setiap yang dikatakan mukallaf
[1] ialah mereka yang sudah baligh dan mempunyai kecerdasan akal untuk mampu memikir. Dari sudut syara’, mukallaf adalah mereka yang saperti berikut:
* sudah baligh
* sudah keluar air mani
* bagi perempuan secepat2nya 7 tahun dan bagi lelaki selewat2nya 15 tahun
* tidak buta dan tidak tuli


mengetahui serta mengaku didalam hatinya
menegaskan bahawa dalam memantapkan ‘aqidah, lafal
[2] mengetahui sahaja tidak memadai. ‘Aqidah menuntut supaya mengetahui serta mesti dengan mengaku. Tanpa disertai dengan mengaku, lafal itu tidak jadi dan tidak dikatakan putus (jazm).

Mengapa letak tempat tahu dan mengaku ini didalam hati ?
Kerana hati adalah ‘tempat kata pemutus’. Simpulan atau ikatan ‘aqidah letaknya dihati.
Namun apa yang tersirat dihati ada kalanya tidak membetuli apa yang dzahir saperti yang dilakunkan oleh anggota badan dan lisan; saperti yang dilakunkan oleh orang2 munafiq. Namun Allah Maha Mengetahui apa yang tersirat dihati dan dihatilah tempat letak ‘tasdiq’ sebagai ukuran kata pemutus kepercayaan dan segala pengakuan.


......saperti firman Allah Ta’ala ( فَاعْلَمْ اَنَّهُ لاَ اِلَهَ اِلاَّ الله ) ertinya maka hendaklah kamu mengetahui dan mengaku bahwasanya tidak ada Tuhan melainkan ALLAH; yakni Allah Ta’ala jua yang ada ...............


فَاعْلَمْ اَنَّهُ لاَ اِلَهَ اِلاَّ الله S. Muhammad Q47:19
Ertinya: hendaklah kamu mengetahui dan mengaku bahwa sanya tidak ada Tuhan melainkan ALLAH. Inilah ayat dimana Allah menyuruh kita mengenali Dia.

فَاعْلَمْ : Ia mengandungi kata suruhan dan ada unsur menekan semacam perintah dengan kata ‘hendaklah’. Diperintah supaya kita ambil berat untuk tahu saperti اعلم ( kamu kena tahu ! ). Maka Tuhan menyuruh kita dan di suruh ambil tahu dengan mengetahui dan mengaku. Tahu dan mengaku apa ? yakni mengetahui dan mengaku sungguh bahwa sanya tidak ada Tuhan melainkan DIA.

لاَ اِلَهَ اِلاَّ الله
[3] : Tidak ada Tuhan melainkan Allah. Ini menerangkan bahwa Allah jua yang ADA; bukan setakat ada, tetapi sungguh ADA ! Maka ADA itulah dinamakan sifat WUJUD.


Maka Ada itulah dikatakan sifat WUJUD; ertinya Ada yang lawan bagi tiada. Maka pengakuan didalam hati dengan tentu sungguh ada Allah Ta’ala. Itulah dinamakan dia wajib pada ‘aqal. Dan pengakuan tentu tak tiada Allah Ta’ala itulah dinamakan mustahil


Sifat ADA itulah yang dimaksudkan dengan Sifat WUJUD. Sifat Wujud memberi makna bahwa hakikat dari Dhat Allah itu bersifat Wujud (Ada) dan lawanya ‘adam (tidak ada).

Wujud adalah Bahasa Arab yang memberi makna ‘ada’.
[4]

tentu sungguh ada Allah Ta’ala
menuntut sifat ADA pada sisi Allah itu bersifat wajib; memberi makna bahwa sesungguhnya Allah itu bersifat wajib ada, mesti ada tidak boleh tidak ada.
Ada yang sebenar benar-benar ada; yakni ada yang dhati.
Bukan Ada yang aradh atau majaz.
[5]
Tidak ada ‘aradh atau majaz pada DhatNya.
Ada yang tidak boleh tidak ada inilah dikatakan wajibul wujud وا جب ا لوجود yakni wujud yang haqiqi.

wajib pada ‘aqal
[6]
‘Aqal yang menuntut wujud Allah itu bersifat wajibul wujud.
· maka tuntutan menuntut wujud Allah itu bersifat wajibul wujud, disebut wajib pada ‘aqal,
· menolak tuntutan pengakuan Allah itu tidak ada (tidak wujud), disebut mustahil pada ‘aqal.

Atas dasar inilah 'ulama mengatakan wajib menjaga ‘aqal, kerana dengan ‘aqal manusia berpeluang mengenal Tuhan. Rosak ‘aqal hilanglah peluang mengenal diri dan mengenal Tuhan. Hilang peluang mengenal diri dan mengenal Allah adalah sebesar2 rugi pemberian nikmah ‘aqal. Tsabit menjadi wajib manusia menjaga ‘aqal, malah merosakan ‘aqal menjadi dosa [7].


Bagini maksud perkataan ‘ulama wujud ertinya ada. Mustahil lawan tiada hingga akhir. Dan dalil atau tanda2 kata Allah Ta’ala itu ada sungguh ianya tak tiada.; ialah kita fikir dengan perhati dan tilik dengan makhluk2 ini, kerana makhluk2 ini baru adanya, dan tiap2 yang baru tentulah didahulukan tiada..

dan dalil atau tanda tanda
dalil naqli : ternyata amat banyak sekali ayat al-Qur’an
[8] menyebut secara langsung dan tidak langsung yang merupakan firman Allah kepada Rasul2Nya.
فَاعْلَمْ اَنَّهُ لاَ اِلَهَ اِلاَّ الله S Muhammad: Q47:19

dalil ‘aqli: kita disuruh fikir dengan perhati dan tilik
[9] dengan makhluk [10]. Benda yang dapat menunjukkan ianya ada, lazimnya
· dapat dilihat oleh mata kasar
· dapat didengar oleh telinga
· dapat disentuh oleh kulit
· dapat dihidu baunya oleh hidung
· dapat dirasa oleh lidah

semua ini dapat di tetapkan adanya, oleh alat panca indera saperti mata, telinga, kulit, hidung dan lidah. Namun sekiranya sesuatu benda yang ada tidak dapat difahami oleh panca indera, namun keberadaanya tidak dapat dinafikan oleh ‘aqal. Contoh ialah
‘aql (intellect)
ruh ( spirit).
nyawa (hayat)
Keberadaan ruh didalam badan menyebabkan adanya nyawa (hayat). Maka jelaslah menunjukkan bahawa walaupun panca indera tidak mampu secara dzahir menunjukan adanya sesuatu barang, keberadaaan sesuatu dapat ditsabithkan adanya kerana ada kesannya. Jasad tidak bernyawa tanpa ruh dalam badan dan kesan keberadaan ruh ialah hidup (bernyawa) atau mati (tidak bernyawa) sesuatu badan.

Dalil ‘aqli menuntut keberadaan sesuatu barang dapat difahami melalui panca indera dan kefahaman ‘aqal. Persoalan yang disuruh ‘tilik’ ialah
· * bagaimana sesuatu itu ada ?
· * adakah keberadaan sesuatu itu jadi dengan sendirinya ?
· * atau adakah keberadaan sesuatu pasti ada yang menjadikan ?

Nyatalah keberadaan benda ( yakni makhluk) yang dapat difahami oleh pancaindera dan ‘aqal itu, tidak dapat diterima ‘aqal terjadi dengan sendirinya. ‘Aqal tidak dapat menolak keberadaanya tanpa ada yang menciptanya. Pencipta kepada segala keberadaan benda itulah ‘aqal tsabithkan wajib ada, tidak terima tiada! ' Tentu sungguh adanya pencipta inilah yang disebut dalil ‘aqli.

Kalau bagitu nyatalah bahwa makhluk ini mumkin namanya; dan mumkin itu barang yang terima ada dan terima tiada.......

Sesungguhnya Allah itu bersifat wajib ada ( wajibul-wujud) sementara selain Allah bersifat mungkin ada atau tiada (mumkinul-wujud).

Setiap makhluk disebut ‘mumkin’ atau mumkinul-wujud ( ممكن الوجود ) kerana keberadaanya itu boleh diterima ada dan boleh juga diterima kalau tiada. Ianya mumkin kerana keberadaannya tidak mesti ada atau wajib ada. Mengapa demikian ? kerana keberadaannya adalah ia diciptakan; maka adanya ‘mumkim’ yakni ‘harus’.

dengan bersamaan berat keduanya; bahkan berat sebelah tiada kerana asal tiada. Dan ringan sebelah ada tiba2 yang ringan jadi berat maka tentulah tak terima pada ‘aqal kita nak jadi berat sebelah ada yang ringan itu dengan sendiri; bahkan mestilah ada yang memberatkan beri ada makhluk ini dan yang memberat beri ada itulah Allah Ta’ala yang tentu ada, tak terima tiada sekali2 kali. Bagitulah pengakuan didalam hati tiap2 mukallaf yang wajib atasnya mengetahui akan Dia.

dengan bersamaan berat keduanya; bahkan berat sebelah tiada kerana asal tiada
‘bersamaan berat keduanya’ memberi maksud seolah peluang keberadaan atau ketiadaan sesuatu mumkin sama beratnya. Oleh kerana mumkin boleh terima ada atau tiadanya, maka persoalannya ialah
· * berat kepada ada atau
· * berat kepada tiada atau
· * sama berat ada dengan tiadanya ?

Dijelaskan bahwa berat kepada tidak ada mumkin kerana asalnya memang tiada. Mengapa demikian ? Kerana tiap2 barang yang ada tentulah asalnya tiada; inilah maksud ‘berat kepada tiada’.

Dan ringan sebelah ada tiap2 yang ringan jadi berat maka tentulah tak terima pada ‘aqal kita nak jadi berat sebelah ada yang ringan itu dengan sendiri;
Dan kalau berat sebelah tiada maka kalau bagitu yang ringan ialah sebelah ada. Yang ringan akan kekal ringan selagi tidak ada yang memberi berat. ‘Aqal boleh terima yang berat jadi ringan, tetapi ‘aqal tidak terima yang ringan jadi berat dengan sendiri. Maka tidak terimalah ‘aqal yang ringan jadi berat dengan sendirinya melainkan ada sebab yang menjadikannya berat..

bahkan mustahil ada yang memberatkan beri ada makhluk ini dan yang memberat beri ada itulah Allah Ta’ala yang tentu ada, tak terima tiada sekali2kali.
dan mustahil yang memberi berat ini datang dari makhluk sendiri . Mengapa demikian ? kerana makhluk itu sendiri sudah ringan (kerana asalnya tiada).. Kalau bagitu siapakah yang memberi berat itu ? Maka yang memberi berat ada itulah Allah Ta’ala yang wajib ada. Maka bererti Pencipta segala ciptaan mesti sungguh bersifat ‘wajib ada’.

Malah ‘aqal dicabar, siapakah yang menjadikan kamu (manusia)?. Q56:59 Adakah kamu yang menjadikan sendiri2 atau kami (Tuhan) yang menjadikan ?
[11]

Bagitulah pengakuan didalam hati tiap2 mukallaf yang wajib atasnya mengetahui akan Dia.

Lagi yang betul dengan nas Qur’an dan hadis yang menunjuk keduanya dengan ada Allah subhanallah Ta’ala. Saperti firman Allah Ta’ala : ( الله الذي خلق السموات والا ض وما بينهما ) al-ayat. Ertinya bermula Allah Ta’ala lah yang menjadi akan beberapa langit dan bumi dan barang yang di antara keduanya. Maka dengan firman itu nyatalah bahwa sanya Allah Ta’ala telah mengaku Ia dengan adanya didalam Qur’an . Dan kita pula kena mengaku didalam hati dengan Ada Allah Ta’ala yang membetuli dengan pengakuan Tuhan didalam Quran ini, itulah dikatakan orang beriman dengan Allah Ta’ala.


الله الذي خلق السموات والا ض وما بينهما

Q32:4. Allah Tuhan Yang menciptakan langit dan bumi serta
Segala Yang ada di antara keduanya


Ayat ini merupakan antara dalil naqli (al Qur’an) yang membetuli melalui pengakuan didalam hati tanpa sebarang keraguan bahwa Allah sht yang menjadikan daripada tiada kepada adanya 7 lapisan langit dan bumi serta apa sahaja yang berada antara keduanya. Allah bukan sahaja 'mencipta' dari tiada kepada ada tetapi diadakan langit dan bumi yang tidak didahului dengan contoh.

Setelah mengetahui dan mengaku Allah sungguh WAJIB ADA
Disuruhnya kita mengenali Dia. (S. Muhammad:Q47:19). DhatNya bersifat wajibul-wujud.
Disuruhnya kita memperhatikan apa yang ada dilangit dan dibumi dan antara keduanya (S.Yunus Q10:101)
Disuruhnya kita meyakini bahawa Dia Dekat (S. Al Baqarah Q2:186)
Disuruhnya kita yakini tiadalah Dia menciptakan sesuatu itu dengan sis-sia (S. Ali Imran : Q3:191)
Disuruhnya kita meyakini nikmat dan rahmatnya tidak terhingga ( la tuh su ha)

والله اعلم

selesai bab wujud

[1] Mukallaf: berlainan dengan mumaiyiz yang hanya sekadar tahu membezakan yang najis dan sebaliknya.
[2] Lafal: apa makna lafal? seorang ayah mahu menulis surat kepada anaknya di Mekah. Dia tidak tahu menulis. Si ayah meminta pertolongan sahabatnya menuliskan surat. Apa yang dituliskan oleh sahabatnya tadi adalah terpulang kepada kebijaksanan penulis sekadar membetuli kehendak si ayah tadi. Maka apa yang ditulis oleh sahabatnya itulah disebut lafal.

[3] Sila rujuk huraian kalimat syahada.

[4] Ar-Raniri menegaskan wujud boleh difahami dengan 5 perkara:
1. wujud dhati : wujud yang dikaitkan dengan dhat. Oleh kerana ada dhat maka wujud juga nama
bagi dhat. Allah adalah nama bagi Dhat. Namun ada juga wujud yang tanpa dhat
yang disebut wujud ‘aqli.
2. wujud ‘ayn : wujud yang dikaitkan secara khusus pada sesuatu yang maujud.
3. wujud ‘aqli : sesuatu yang dalam aqal yang boleh kita fahami.saperti ‘aql (intellect) dan ruh.
4. wujud lafzi : sesuatu yang wujud dalam istilah yang disebut secara lisan.
5. wujud khatti : sesuatu yang wujud dalam istilah yang wujud secara tulis saperti rezeki
(sila rujuk al-sajarah, istac vol 3 no 1, 1998)

[5] Majaz ertinya hendak menunjukkan 'sifat wujud' itu ada pada dhat. Maka kita kata ( secara majaz) si anu itu wujud. Rumah itu wujud (ada). Allah itu wujud. Maka 'wujud' disini dapat difahami 'ada' untuk menunjukkan sifat dhat itu. Merujuk kepada makhluk, perkataan 'wujud' disebut sebagai sebutan yang menunjukkan ada. Bagi Allah adaNya disebut 'wujud haqiqi'. Oleh kerana keberadaan makhluk difahami sebagai sebutan, maka dinamakan dia 'maujud'; aradh ertinya yang mendatang kemudian; Akan dihuraikan secara terperinci kemudian.
[6] Sila rujuk huraian hukum ‘aqal yakni wajib pada ‘aqal, mustahil pada ‘aqal dan harus pada ‘aqal.
[7] Tuan Guru Fakeh Zahid dalam pengajian Faidahtul Faraid telah menghuraikan kepentingan menjaga akal. Minum arak, mengambil dadah dan segala benda yang bolih merosakkan ketajaman ‘aqal adalah termasuk perkara yang boleh menghilangkan peluang mengenal diri dan mengenal Allah.
[8] S. Muhammad:19 ; S. Ibrahim:10 ; S. Thaha :14 ; S Yunus:101; S Faathir: 3; S An’am:46; alFurqan:61; S. Sadjdah :4 dan banyak lagi ayat2 lain.
[9] Tilik : mengambarkan keperhatian yang mendalam dan bukan sekadar lihat, tengok dan tahu sahaja.
[10] Makhluk : apa itu makhluk ? Selain Allah ialah makhluk. Benda yang kena jadi. Fahaman pengertian makhluk begini memberi satu kesimpulan yang mudah bahawa selain Allah adalah dicipta; yakni baru. Ringkasnya segala yang baru ada permulaan yang dahuluinya tiada. Digunakan makhluk dalam dalil ‘aqli kerana ternyata makhluk sudah ada dengan musyawwarah. Makhluk senonim dengan ‘adanya alam ini’.
[11] Inilah contoh dalil qati’; yang di suruh tilik sekali gus dengan dalil naqli dan dalil ‘aqli yang putus lagi muktamad.

Saturday, September 27, 2008

PENGENALAN SIFAT 20

KEARAH PENGUKUHAN ‘AQIDAH

Modus operandi


Tujuan moduil ini ialah kerana ingin membantu diri saya dan juga orang-orang yang ingin menuju kejalan pengukuhan tauhid dengan memudahkan penghayatan dan pemahaman sendi-sendi tauhid. Bagaimana caranya?
+ dengan jalan menghayatinya secara berkisah
+ cara mudah memahaminya
+ mengenal sumber2 kitab yang mashyur
+ mengambil berat memilikkinya

Sama-sama kita memohon kepada Tuhan taufik, taubat, bantuan, petunjuk dan pemiliharaanNya agar Dia memudahkan segala yang diingini. Dimasukkan kita kedalam perkampungan kemuliaan di yaumul qiamat dengan segala kesenangan dan kebahgiaan. Dialah sebaik2 penggantungan harapan. Tiada daya dan tiada kekuatan melainkan Dia. Amin.

Perkara yang akan difahami ialah antaranya
* kemuliaan ilmu tauhid
* membezakan erti ‘mengenal dan mengaku’
* hukul ‘aqal
* membezakan adat, syariat dan hakikat
* mengenal dhat dan sifat
* sifat wajib, mustahil dan harus bagi Allah
* sifat wajib, mustahil dan harus bagi Rasul
* muhimmah
* kalimah syahadah


Mengenal Tuhan melalui sifat 20
Ulama telah memudahkan melalui hasil ijtihad mereka dalam memahami dan mengenal Tuhan. Salahkah kita belajar sifat 20?
Tidak salah. Mengapa demikian? sebab sumber rujukan SIFAT 20 ialah al-Qur'an dan Hadith juga. Bagi yang sudah pandai, sudah mencukupi memahaminya terus melalui al-Qur'an dan hadith tetapi
bagi yang belum pandai, memerlukan huraian dan ijtihad dari ulama. Huraian mungkin berbeza dari cara pengolahan saja; namun matlamatnya tetap satu jua. Mengenal sifat2Nya yang Wajib, Harus dan Mustahil. Akhir pemahaman sifat 20 adalah tertuju kepada pemahaman serta keyakinan pengsaksian kalimah syahada. Inilah yang dimaksudkan 'ringan dilidah, tetapi berat pada timbangan'.

Kita memanjatkan kesyukuran kepada Allah yang telah mendahulukan kita dari segala makhlukNya dengan nikmat Iman, Islam dan Ihsan. Semoga Allah memberi kesempatan dan kekuatan kepada diriku untuk berkongsi dalam memperkukuhkan 'aqidah. Amin Ya Rabbal Alamin.